KUALA LUMPUR – Haram untuk umat Islam berniaga dengan Yahudi Israel
walau apa fahaman yang mereka anuti, kata Ketua Dewan Pemuda PAS,
Nasrudin Hassan.
Beliau mendakwa, berurus niaga dengan individu atau mana-mana pihak
Yahudi yang terhad pada individu atau syarikat seperti Yahudi dari
Eropah dan lainnya pada hukum asalnya harus kerana Rasulullah juga
pernah berurus niaga dengan bangsa Yahudi.
“Namun urus niaga dengan Yahudi Israel hari ini iaitu Yahudi yang membunuh umat Islam Palestin, merampas tanah Palestin dan menubuhkan negara haram Israel atas penderitaan dan kesengsaraan umat Islam Palestin adalah haram walau apa fahaman yang mereka anuti termasuk zionis.
“Yahudi ini yang mencari dan mengaut keuntungan lalu membina kekayaan mengukuhkan kuasa dan penjajahan keatas umat Islam Palestin malah membunuh sewenangnya umat Islam maka haram berurus niaga dengan mereka walau apa fahaman yang mereka anuti,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nasrudin mendakwa, ramai ulama telah memberikan fatwa haram berkait
urusniaga semasa dengan Yahudi Israel secara umumnya seperti Dr. Yusuf
Al-Qaradhawi kerana asasnya keseluruhan Yahudi Israel telah melakukan
satu jenayah besar ke atas umat Islam dan ia masih berlarutan hingga
hari ini.
Malah, dakwanya, fatwa haram urus niaga dengan Yahudi Israel Zionis
ini dibina oleh para ulama berasaskan kesan dan perkembangan politik
serta ekonomi umat Islam antarabangsa apabila setiap ringgit atau dollar
yang mengalir ke Israel melalui apa jua bentuk urusniaga menghasilkan
peluru yang bakal membunuh umat Islam Palestin.
Pada 17 Mac lalu media melaporkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang sebagai berkata, kerjasama dengan bangsa Yahudi, terutama dalam
bidang perniagaan adalah dibenarkan tetapi ia adalah terhad kepada kaum
itu sahaja dan bukannya dengan fahaman Zionis.
“Pendekatan kita (ialah) boleh bekerjasama dan berniaga dengan bukan Islam (termasuk Yahudi) tetapi ia mestilah terhad kepada kaum itu sahaja dan bukannya dengan fahaman Zionis ,” katanya dalam sesi soal jawab pada majlis makan malam bersama Pemimpin PAS anjuran Dewan Muslimat PAS Malaysia,.
Abdul Hadi menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang pimpinan PAS
yang mengajukan soalan berhubung proses perhubungan antara kerajaan PAS
atau pakatan pembangkang untuk memisahkan hubungan perniagaan dengan
bangsa Yahudi sekiranya menguasai kerajaan persekutuan suatu hari nanti.
–
0 comments:
Post a Comment