PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka 
membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, 
termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru 
Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.
 Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
 "Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka 
memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya 
kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal 
diumumkan itu.
 Omar berkata, Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara 
yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian 
serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan 
mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.
 "Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan 
serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung 
permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.
 Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk 
menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 
penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac 
depan. - Bernama
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment