KUALA TERENGGANU - Bapa kepada seorang pembantu kedai yang maut ditikam
 malam tadi kebingungan ingin tahu apa salah-silap anaknya sehingga  
anaknya menjadi sasaran tikaman seorang lelaki.
"Kenapa buat anak saya macam ini, apa salah dia?" demikian rintihan Wan Mansor Wan Muda, 50.
Katanya anak sulungnya itu, Wan Manisah, 27, seorang yang baik dan anaknya tidak bermusuh dengan sesiapa.
Wan Mansor yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jelas 
sugul dan terkejut dengan kejadian yang menimpa kakak kepada 12 beradik 
itu sehingga mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang lain.
Ibu mangsa, Noorainie Yusof, 45, berkata kali terakhir dia bercakap 
dengan anaknya yang lebih mesra dengan paggilan Kak Long itu kira-kira 
pukul 5 petang semalam semasa mangsa menghubunginya untuk memberitahu 
tidak dapat pulang hari ini tanpa memberikan sebarang alasan.
"Semalam Kak Long menelefon dan memaklumkan tidak jadi balik ke kampung
 di Durian Mas, Dungun dan memberitahu tidak perlu menjemputnya namun 
dia tak beritahu kenapa dia tak dapat balik," katanya.
Noorainie tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir dan petanda Wan
 Manisah akan meninggalkan mereka semua buat selama-lamanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Wan Manisah ditikam seorang
 lelaki tidak dikenali yang dipercayai kurang siuman ketika sedang 
berbual bersama tiga rakannya di kedai kain yang terletak di Jalan 
Kampung Daik di sini.
Mangsa dikatakan menegah lelaki itu yang meluru masuk untuk ke tingkat 
kedai menyebabkan lelaki itu berang lalu bertindak memeluk mangsa dari 
belakang sebelum memukul dan menikam belakang Wan Manisah.
Lelaki itu turut menyeret mangsa kira-kira lima meter ke bahagian 
dalam, namun mangsa berjaya melarikan diri ke belakang kedai sebelum 
pengsan. Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 2.05 pagi ini ketika 
menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment