Monday, 23 January 2012
Lelaki Bogel Buat kecoh di pasar sebelum 'drama tebusan'
Unknown - 23:25KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai tebusan di rumahnya di Kampung Baru di sini hari ini, membuat kecoh di pasar berdekatan sebelum insiden itu.
Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli berkata, dia yakin lelaki berkenaan bukan penduduk Kampung Baru kerana kelibat suspek tidak pernah dilihat sebelum ini.
Katanya, dia mungkin datang dari kawasan lain sebelum masuk ke rumah itu dan menjadikan kanak-kanak perempuan 10 tahun tersebut sebagai tebusan.
Laporan Bernama memetik seorang lagi penduduk tempatan, Suhardi Osman, 45, berkata, lelaki itu membuat kecoh di sebuah pasar berdekatan.
"Saya dapat tahu dia terlebih dahulu telah membuat kecoh di pasar pada waktu pagi sebelum dihalau oleh orang ramai, dan ini mungkin punca mengapa dia menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan," katanya.
Sebelum kejadian, lelaki berkenaan dipercayai merayau-rayau di sekitar sitem transit aliran ringan LRT Kampung Baru dalam keadaan tidak berpakaian.
Seorang lagi saksi, Azhar Osman, 47, berkata, dia ketika itu baru sahaja habis bersarapan di sebuah gerai berdekatan dan terlihat lelaki tidak berpakaian.
Menurutnya, orang ramai yang berada di lokasi ketika itu memarahi lelaki berkenaan agar memakai pakaian yang dibawanya, namun dia yang dipercayai kurang siuman itu memberi maklum balas yang tidak diketahui butir katanya.
"Ketika itu dia berbogel dan memegang besi yang mana baju dan seluar yang dibawa membalut besi tersebut.
"Apabila orang ramai memarahinya agar memakai pakaian, dia mula mengeluarkan kata-kata yang tidak difahami dan mula mengamuk dengan menghayun-hayunkan besi yang dipegang," katanya.
Katanya, dia hanya mengetahui lelaki berkenaan telah menjadikan mangsa sebagai tebusan apabila menerima pangilan daripada anaknya.
"Apabila mendapat tahu perkara tersebut, saya agak suspek adalah orang yang sama yang ditemui sebelum itu dengan tidak berpakaian dan dia bukan individu yang biasa dilihat di sekitar kawasan ini kerana ini kali pertama saya melihatnya.
Dalam pada itu, kejadian tersebut nyata menggemparkan penduduk Kampung Baru apabila kira-kira 300 penduduk tidak berganjak daripada kawasan kejadian untuk mengetahui perkara yang berlaku.
Salah seorang penduduk, Abdul Ghani Mohd Noor, 48, berkata, ia peristiwa yang pertama kali berlaku di situ dan sememangnya memberi kejutan kepada penduduk lebih-lebih lagi ia berlaku pada masa cuti umum.
Menurutnya, difahamkan lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh dadah dan dia juga orang luar, disebabkan itu dia boleh melakukan hal demikian.
"Kejadian yang berakhir dengan empat das tembakan ini memang menggemparkan semua penduduk. Hari ini memang hari cuti dan ramai penduduk yang berada di rumah dan berita ini cepat tersebar," katanya.
Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah lelaki terbabit setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan mangsa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.
Dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan lelaki berkenaan untuk memujuknya, namun dia bertindak lebih agresif.
SILA TINGGALKAN KOMEN DISINI DAN SHARE
SILA LIKE FANPAGE KAMI DAN SHARE ARTIKEL INI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment