PETALING JAYA - Penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat 
menafikan spekulasi dirinya tiada komitmen untuk bermain bersama skuad 
negara setelah gagal melaporkan diri pada sesi latihan pertama skuad 
Olimpik yang bermula kelmarin.
 Ketiadaan kelibat pemain yang digelar 'Apek' oleh rakan sepasukan 
kerana tidak memaklumkan punca tidak hadir kepada ketua jurulatih, Ong 
Kim Swee menjadi tanda tanya di kalangan peminat bola sepak tanah air.
 "Semua ini hanya salah faham komunikasi antara saya dengan pihak 
pengurusan (Kelantan). Namun yang pasti hari ini, saya turun berlatih 
bersama rakan-rakan bagi persiapan pasukan negara," katanya ketika 
ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan hari kedua di Wisma FAM di 
sini, petang semalam.
 Skuad Olimpik negara akan menentang Bahrain pada aksi keempat Kumpulan C
 kelayakan Zon Asia di Stadium Nasional, Manama, 5 Februari ini.
 Sesi latihan skuad Olimpik ini melibatkan 25 pelatih yang dikendalikan 
oleh Kim Swee sebelum berlepas ke negara Teluk itu pada 1 Februari ini.
 Beliau berkata situasi tersebut mungkin berpunca dari laporan yang 
beliau sendiri kurang faham semasa menerima surat tersebut kerana beliau
 juga telah mendapat surat pelepasan pulang selang beberapa hari 
kemudian untuk beraksi bersama Kelantan dalam Liga Super nanti.
 Khairul Fahmi, 23, berkata, isu tersebut dianggap selesai dan jurulatih
 Kim Swee juga telah dimaklumkan situasi sebenar yang berlaku.
 "Saya terikat dengan kontrak bersama Kelantan dan saya juga ada 
tanggungjawab menggalas tugas mewakili negara... dan sudah tentunya saya
 menganggap komitmen bermain untuk negara adalah lagi besar.
 "Esok (hari ini) saya akan pulang semula ke Kota Bharu sekejap bagi persiapan menghadapi Kuala Lumpur," katanya.
 Kelantan akan bertemu pasukan tercorot Liga Super, Kuala Lumpur esok di
 laman sendiri bagi memperkukuhkan cengkaman di persada liga. - Bernama
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment