Show Mobile Navigation

Monday 24 February 2014

Jalan Raya Di Malaysia Disenaraikan Yang Ke 17 Paling Berbahaya Di Dunia

nescafeais - 12:33


PETALING JAYA: Malaysia disenaraikan antara 25 negara yang paling berbahaya bagi pengguna jalan raya, dengan mencatatkan 30 kematian bagi setiap 100,000 individu, menurut kajian oleh Universiti Michigan.

Dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Pengangkutan universiti itu menggunakan data 193 negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), senarai kajian pada Februari 2014 menunjukkan Malaysia sebagai negara ke-17 yang paling berbahaya untuk pemandu.

Satu-satunya negara Asia Tenggara lain yang berada dalam ranking 25 yang paling berbahaya ialah Thailand yang menduduki tempat kedua paling berbahaya untuk pemandu, dengan 44 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Dalam perbandingan yang dilakukan, Amerika Syarikat hanya 14 mencatatkan kematian, Perancis tujuh, Jerman dan Singapura enam, dan United Kingdom hanya lima kematian bagi setiap 100,000 orang.

Purata kematian dunia adalah 18 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Namibia mendahului senarai yang paling berbahaya dengan 45 kematian dan tempat paling selamat adalah negara dengan pulau kecil, Maldives yang mencatatkan dua kematian.

Semua 25 negara yang tersenarai sebagai paling berbahaya, sama ada negara membangun atau negara kurang membangun.

Sebagai tindak balas mengapa Malaysia berada di kedudukan antara yang paling berbahaya, penyelidik Brandon Schoettle mencadangkan bahawa pembangunan mungkin mempunyai peranan yang besar dalam perkara ini.

"Walaupun saya tidak boleh bercakap secara khusus mengenai Malaysia, kita tahu bahawa dengan peningkatan pembangunan bagi sebuah negara, kemalangan maut juga sering meningkat, " katanya sambil merujuk China dan India sebagai contoh.

Negara-negara pulau seperti Malta (tiga kematian bagi setiap 100,000), Fiji (empat), Kepulauan Marshall (empat) dan Tonga (empat) adalah negara-negara di mana kurang kemungkinan kematian akibat kemalangan jalan raya, mungkin kerana tahap kenderaan bermotor yang rendah.

Di seluruh dunia, didapati bahawa kematian akibat kemalangan jalan raya membentuk hanya 2.1 peratus daripada kematian lain-lain.

Emiriah Arab Bersatu telah menduduki peratusan tertinggi dalam kemalangan maut jalan raya dengan 15.9 peratus.

Kajian ini dijalankan untuk membandingkan nisbah kematian kemalangan jalan raya dengan sebab-sebab utama kematian lain.

Kematian bagi setiap penduduk akibat kemalangan jalan raya dibandingkan dengan kematian daripada sebab-sebab utama kematian yang lain seperti 'neoplasma malignan' (kanser) dan penyakit jantung iskemia serta penyakit serebrovaskular.

Mengikut purata dunia, didapati bahawa manusia enam kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung daripada mati dalam kemalangan kereta.

Rakyat Malaysia mempunyai 2.5 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat kanser dan 2.8 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat penyakit jantung berbanding dengan kemalangan maut.

Walau bagaimanapun, menurut satu kenyataan di laman web WHO, data kajian yang dijalankan mungkin tidak sama dengan angka rasmi di Malaysia kerana perbezaan metodologi yang digunakan oleh WHO dan bancian Malaysia.

"Banyak set data mewakili anggaran terbaik WHO menggunakan metodologi untuk petunjuk tertentu yang bertujuan untuk perbandingan antara negara dan masa.

"Oleh itu, ia tidak sentiasa yang sama dengan anggaran rasmi kebangsaan, walaupun WHO, bila-bila sahaja yang mungkin, akan menyediakan peluang kepada negara anggota meneliti kajian dan mengulas mengenai data dan anggaran sebagai sebahagian daripada perundingan negara."

Oleh itu, pengelasan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbahaya untuk pemandu mungkin berbeza berbanding rekod rasmi tempatan. -mStar
SILA TINGGALKAN KOMEN DISINI DAN SHARE



SILA LIKE FANPAGE KAMI DAN SHARE ARTIKEL INI






0 comments:

Post a Comment