Kenaikan kadar tol dijangka tahun depan, dilihat menjadi pelengkap pakej penderaan terhadap rakyat.
Menurut Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus, pihaknya membantah kenaikan tol ini dan menganggap ianya tidak masuk akal memandangkan rakyat sudah cukup terbeban dengan beberapa kenaikan oleh kerajaan sebelum ini.
Menurutnya lagi, sepatutnya kadar tol semakin rendah dari tahun ke tahun kerana syarikat konsesi mendapat pulangan modal bagi pembinaan lebuh raya, ditambah keuntungan berlipat ganda menerusi pertambahan kenderaan menggunakannya.
“Secara tidak langsung, keadaan ini menggambarkan betapa kerajaan pimpinan BN gagal mentadbir negara dengan baik berikutan banyak kenaikan harga berlaku, sedangkan baru tujuh bulan PRU13 berlalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
selain membebankan dari segi kewangan, kenaikan itu memberi impak negatif terhadap aspek sosial dan integriti.
Tidak mustahil, anak-muda muda berada di perantauan selepas ini jarang pulang ke kampung menemui ibu bapa mereka, gara-gara tidak mampu menampung kos perjalanan semakin tinggi.
“Pada masa sama, kita juga khuatir gejala rasuah akan semakin membarah dalam kalangan masyarakat kerana ramai terpaksa mencari duit lebih untuk menjalani kehidupan seharian yang penuh tekanan,” katanya
Sudah Jatuh Ditimpa Tangga
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, menyifatkan, kenaikan kadar tol ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.“Apabila mendengar kenaikan tol ini, saya tidak terkata lagi. Baharu sahaja rakyat dikhabarkan kenaikan tarif elektrik, gula, minyak, ini tol pula.
“Kita rakyat susah mahu faham dengan tindakan kerajaan kerana setiap kali yang diumumkan syarikat konsesi mendapat keuntungan berganda, kerajaan juga mendapat pulangan baik, tapi rakyat yang susah akhirnya dengan kadar tol dinaikkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata beliau, jika kerajaan mahu menaikkan harga tol, namun tahap prestasi jalan dan ciri-ciri keselamatan masih ditahap yang sama, pastinya amat tidak bermakna bagi rakyat.
“Kalau sepanjang jalan di lebuh raya dengan kelajuan 110km, contohnya hanya sejam sahaja boleh sampai ke Melaka dari Kuala Lumpur, mungkin rakyat tidak akan berkira.
“Tapi kalau bayar tol, jalan tetap sesak dan ciri keselamatan tidak diendahkan apa guna bayar tol yang mahal-mahal,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya jika sekalipun kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan, kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi perjanjian antara syarikat konsesi supaya tidak berlaku perjanjian berat sebelah.
“Ini penting, kerajaan perlu semak kembali perjanjian itu supaya tidak berlaku tindakan kurang cerdik daripada pihak mereka semasa menandatangani perjanjian dengan syarikat konsesi.
“Kita tidak mahu berlaku berat sebelah, mungkin masa tandatangan itu, diambil kira jumlah kereta yang lalu hanya berapa dan sekarang pula sudah berapa jumlah kereta yang melalui lebuh raya itu,” kata beliau.
Sehubungan itu, kerajaan disaran lebih bijak menguruskan ekonomi dengan mengutamakan rakyat supaya tidak terkesan berikutan penarikan subsidi dan kenaikan harga barangan.
“Rasanya di setiap lebuh raya ada papan iklan yang pastinya mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Ini belum lagi termasuk dengan gerai di kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya kepada pengguna, pastinya mendapat keuntungan,” katanya.
"bajet mesra rakyat"
ReplyDelete