SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang 
mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan,
 adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa 
jua bentuk hubungan.
 Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, Nik Abdul Aziz berkata,
 beliau berpandangan bahawa Anwar memahami pendirian Pas yang tidak 
mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat 
Palestin.
 "Oleh kerana itu tidak berbangkit Pas telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat," katanya.
 Sehubungan itu kata Nik Abdul Aziz, beliau yakin, pihak Pakatan Rakyat 
tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk 
membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.
 Nik Abdul Aziz berkata, dengan memahami penjelasan Anwar, yang 
diberikan semalam, Pas kekal dengan pendirian yang telah diputuskan oleh
 Majlis Syura Ulama iaitu parti Islam itu sekali-kali tidak mengiktiraf 
negara haram Israel.
"Maka Pas tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang 
dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk 
menerima pendirian Pas ini," katanya.
 Menurut Nik Aziz, bagi beliau, pendirian Pas adalah wajar kerana 
kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri 
kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh 
rakyat Palestin.
 "Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis 
menzalimi dan membunuh rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan
 orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang 
haram.
 "Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian Pas yang tidak 
mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat 
Palestin," katanya lagi.
 Nik Abdul Aziz dan Anwar mengadakan pertemuan di ibu negara pagi.
 Dalam kenyataan yang dikeluarkan kira-kira 24 jam selepas pertemuan 
mereka, Nik Abdul Aziz berkata, Anwar telah datang menemuinya untuk 
menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang 
disiarkan oleh Wall Street Journal, bulan lalu.
 "Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura 
Ulama Pas minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan 
dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.
 "Majlis Syura Ulama juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan 
secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan 
agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street 
Journal bagi membersihkan nama," katanya.
 Nik Abdul Aziz menjelaskan bahawa pertemuan mereka telah berlangsung 
dalam suasana harmoni dengan Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang 
telah berbangkit.
 Pada pertemuan itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga hadir.
 
 
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment