KUALA TERENGGANU - "Hidang aku nasi" itulah permintaan seorang penyamun
 selepas memecah masuk ke dalam rumah seorang pembantu veterinar di 
Kampung Bukit Payung, Besut di sini, pagi kelmarin.
 Bagaimanapun ketika penyamun itu sedang asyik menjamu selera, anak 
perempuan pemilik rumah itu sempat melarikan diri ke rumah jiran 
berdekatan dan menelefon bapanya bagi memaklumkan kejadian tersebut dan 
seterusnya membuat laporan polis.
 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata, dalam 
kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek yang bersenjatakan sebilah 
parang telah memecah masuk ke rumah berkenaan dan mengugut anak 
perempuan pemilik rumah yang ketika itu tinggal berseorangan supaya 
menyerahkan semua barang berharga.
 "Mangsa 21 tahun yang dalam keadaan ketakutan kemudian terus menyerahkan dua utas gelang emas yang dipakainya.
 "Selepas mendapat barang kemas itu suspek kemudian meminta mangsa 
menghidangkannya nasi, namun mangsa menyuruh suspek mengambil sendiri 
nasi di dapur sebelum mengambil peluang melarikan diri ke rumah jiran 
untuk mendapatkan bantuan," katanya.
 Menurut Manoharan, tidak lama selepas itu bapa mangsa tiba bersama 
beberapa anggota polis, namun suspek bersama seorang rakannya yang 
menunggu di dalam kereta berjaya melarikan diri.
 Katanya, hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan seorang 
lelaki berusia 21 tahun kira-kira jam 8 malam hari yang sama di Jalan 
Pasir Akar dan hasil soal siasat, seorang lagi suspek berjaya ditahan.
 "Kita berjaya menahan suspek utama yang berusia 29 tahun kira-kira 
sejam kemudian di Kampung Bukit Payung dan hasil penahanan kedua-dua 
suspek itu polis berjaya merampas parang yang digunakan dalam kejadian 
itu," katanya.
 Bagaimanapun dua utas gelang emas yang disamun itu telah diserahkan kepada rakan wanitanya untuk dijual.
 "Kita telah menelefon keluarga wanita berkenaan memaklumkan kejadian 
itu sebelum wanita berusia 28 tahun itu tampil menyerahkan diri di Balai
 Polis Jerteh kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan hasil siasatan yang 
dijalankan wanita itu mengakui telah menjual gelang emas yang bernilai 
RM800 itu di sebuah kedai emas di Jerteh.
 "Polis telah pergi ke kedai emas berkenaan pagi tadi dan menahan 
seorang  jurujual yang berusia 31 tahun bagi membantu siasatan, 
bagaimanapun jurujual berkenaan memaklumkan barang kemas itu telah 
diserahkan kepada pemilik kedai dan kita akan membuat tangkapan ke atas 
pemilik kedai berkenaan," katanya.
 Manoharan berkata, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis 
methamfetamine itu direman selama seminggu dari semalam  bagi membantu 
siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak 
menggunakan senjata. - Bernama
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment