Show Mobile Navigation

Saturday, 21 January 2012

Panel khas diberi 3 bulan semak SBPA

nescafe ais - 19:44

KUANTAN - Pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam diberi tempoh tiga bulan untuk menyemak semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, pagi ini. 

Lebih seminggu lalu, pentadbiran Najib menubuhkan Pasukan Petugas bagi menyemak semula skim SBPA yang pelaksanaannya mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan majoriti kakitangan awam. 

Ketika itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

Ia ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam. 

Dipetik Bernama, Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Pahang di sini. 

Najib berkata, kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikan sistem berkenaan.

Najib berkata kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlukan dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka. 

"Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, mana mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.

Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka. 

"Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju. 

"Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya. 

Najib berkata, kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.

"Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat, tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya. 






SILA TINGGALKAN KOMEN DISINI DAN SHARE



SILA LIKE FANPAGE KAMI DAN SHARE ARTIKEL INI






0 comments:

Post a Comment