KUALA LUMPUR - Program pendermaan susu ibu yang mengikut tuntutan syarak dijangka akan mula dilaksanakan di hospital-hospital kerajaan di negara ini tahun ini, kata Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Hussain Imam Muhammad Ismail.
 Beliau berkata,rancangan mewujudkan program itu telah diluluskan 
Kementerian Kesihatan selepas perbincangan antara pakar-pakar pediatrik 
seluruh negara.
  
 “Semua pakar bersetuju melaksanakan program ini secara rasmi mengikut 
mekanisme ditetapkan. Ianya kini berada di peringkat akhir sebelum 
pelaksanaan,” katanya kepada  Sinar Harian.
 
Pakar kanak-kanak itu berkata, susu ibu adalah nutrien yang amat penting terutama bagi pembesaran bayi pra-matang jadi program derma susu itu akan memberi manfaat besar kepada bayi yang memerlukan.
  
Pakar kanak-kanak itu berkata, susu ibu adalah nutrien yang amat penting terutama bagi pembesaran bayi pra-matang jadi program derma susu itu akan memberi manfaat besar kepada bayi yang memerlukan.
 Dr Hussain berkata, program derma susu ibu ini akan dijalankan mengikut
 hukum syarak bagi mengelakkan berlaku masalah dari segi nasab dan 
keturunan.
  
 Menjelaskan lebih lanjut mengenai proses pendermaan di bawah program 
itu, Dr Hussain berkata, pihak hospital akan membuat pengumuman di 
wad-wad bersalin jika terdapat ibu yang mempunyai lebihan susu untuk 
didermakan, dan akan mengenal pasti ibu yang memerlukan bekalan susu.
  
 Beliau berkata, wanita penderma akan dipastikan bebas penyakit seperti 
Hepatitis B, C dan tidak merokok selain beberapa syarat penting lain.
  
 “Selepas mengenal pasti penderma dan penerima, kami akan mengambil 
stok susu, menyaringnya untuk memastikan ia bebas daripada penyakit 
sebelum dipasteurkan di dapur susu yang terdapat di hospital.
  
 “Kemudian, penderma dan ibu penerima akan diminta menandatangani borang
 persetujuan untuk menderma dan menerima susu secara sukarela (seperti 
dikehendaki syarak),” katanya.
  
 Dr Hussain berkata, wanita yang menderma dan menerima susu juga akan 
melalui sesi kaunseling mengenai hukum hubungan keluarga susuan dan 
larangan berkahwin.
  
 Beliau berkata, tiada had terhadap jumlah anak susuan yang boleh diambil oleh seorang wanita penderma.
  
 “Bagi mengelakkan masalah perkahwinan pada masa depan, wanita yang 
mempunyai ramai, atau hanya anak perempuan digalakkan menderma susu 
kepada bayi perempuan sahaja,” katanya.
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment