Show Mobile Navigation

Wednesday 21 May 2014

Trailer Filem MH370 Vanishing Act Dikecam

nescafeais - 14:27




Seorang waris kepada anak kapal pesawat MH370 meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghalang usaha seorang pengarah filem erotis dari India yang didakwa menggarap tragedi yang menimpa pesawat malang itu melalui satu karya filem.


Anak kepada ketua pramugara penerbangan tersebut, Maira Elizabeth Nari berkata filem itu bukan sahaja tidak sensitif kepada perasaan waris anak kapal dan penumpang, tetapi juga tidak menggambarkan situasi sebenar.

Maira dalam tulisannya di Twitter itu mengulas mengenai sedutan filem 'The Vanishing Act', yang mencetus kontroversi apabila dipromosi di Festival Filem Cannes, pada hari Khamis lalu.

“Tolong lakukan sesuatu terhadap filem ini dan pengarahnya, ia sangat tidak sensitif dan saya rasa marah betul!

“Apa yang nak kamu buktikan?,” katanya lagi dalam satu kenyataan yang dimuatkan di laman sosial tersebut.

Beliau menujukan tulisan tersebut kepada Najib dan juga pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Twitter.

Tambahnya, beliau berharap agar kerajaan akan mengambil tindakan ke atas filem arahan pengarah warga India, Rupesh Paul, yang sebelum ini popular sebagai pengarah filem erotis tersohor Kamasutra 3D (2014).

"Saya rasa jijik dengan filem ini, Rupesh Paul. Ia sangat tidak sensitif. Bolehkah kamu menghormati waris (penumpang dan anak kapal) MH370? (Gambaran dalam filem ini) bukan cara anak kapal bekerja. Saya mahu kerajaan lakukan sesuatu terhadap filem ini.

“Ia bukan satu tontonan yang menghiburkan. Tolonglah, pernahkah kamu fikir apa yang kami rasa dan fikir tentang filem itu.

"Sebelum kamu lakukan atau katakan sesuatu mengenai MH370. Fikirkan dulu macamana perasaan kami. Saya rasa begitu marah,” katanya seperti dipetik dalam tulisan tersebut.

Sentimen sama turut ditunjukkan oleh pengguna Youtube yang meninggalkan komen di laman sedutan tersebut.

Seorang daripadanya, Amina Jannah berpendapat, pengarah filem berkenaan hanya ingin mencari populariti murahan dengan karya tersebut.

Beliau antara lainnya merujuk kepada beberapa babak yang ditonjolkan dalam sedutan berkenaan – antaranya adegan intim di antara anak kapal terbabit semasa penerbangan.

“Ini filem yang sangat teruk. Apa yang kamu mahu sampaikan melalui aksi bercium? MH370 bukan macam itu! Saya marah. Ini selalu terjadi bila pengarah hanya nakkan populariti murahan. Sangat memalukan," katanya.

Sedutan filem sepanjang 1 minit 33 saat itu menonjolkan pesawat Malaysia Airlines Boeing 747 berlepas di satu lapangan terbang dan tulisan "Kuala Lumpur ke Beijing", dan juga adegan-adegan dalam pesawat tersebut.

Ia juga menunjukkan keterangan "01:07 Data terakhir diterima" dan "01.19 Perhubungan suara terakhir", "01:21 Perhubungan radar terakhir" dan "01.22 Transponder berhenti beroperasi" dan "Mentafsir misteri MH370".

Ia turut menunjukkan keadaan cemas apabila seorang pramugari terjatuh semasa penerbangan dan juga adegan seorang individu memegang senjata api.

Seorang pengarah bersekutu filem tersebut, Sritama Dutta dalam satu laporan agensi AP pada hari Jumaat lalu menafikan bahawa filem tersebut mempunyai persamaan dengan kes kehilangan pesawat MH370.

Satu-satunya persamaan antara filem berkenaan dan tragedi tersebut adalah kejadian kehilangan pesawat, katanya yang menambah, sebarang usaha untuk mencerminkan fakta dalam filem tersebut tidak praktikal.

"Kami tidak mampu mengikuti fakta sebenar, ianya berubah setiap hari," katanya seperti dilaporkan agensi tersebut.

Pencarian pesawat MH370 yang masuk hari ke-73 hari ini masih belum membuahkan sebarang hasil.
SILA TINGGALKAN KOMEN DISINI DAN SHARE



SILA LIKE FANPAGE KAMI DAN SHARE ARTIKEL INI






0 comments:

Post a Comment