Rujukan gambar SinarHarian
SEREMBAN: Kementerian Kesihatan Malaysia akan menubuhkan satu pasukan Lembaga Siasatan Perubatan bagi menyiasat dakwaan pasangan suami isteri yang mendakwa kematian bayi kembar mereka bulan lepas berpunca dari kecuaian pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan berkata Lembaga Siasatan Perubatan ini dianggotai pakar perubatan bagi menyiasat dan menyelidik setiap sudut.
“Lembaga Siasatan Perubatan adalah badan bebas yang akan dilantik oleh Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia dan terdiri dari Pakar Perunding dalam bidang berkaitan seperti bidang Obsteriks dan Ginekologi, Pediatrik dan Bius.
“Mereka akan dipilih dari Pakar Perunding dari hospital-hospital di luar Negeri Sembilan.
“Ia dipengerusikan oleh Pakar Perunding Obsteriks dan Ginekologi. Setiap anggota yang terlibat dalam pengendalian kes ini akan diambil keterangan mereka dan laporan siasatan tersebut akan di hantar ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Siasatan terperinci juga akan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima dari pasangan suami isteri itu.
“Oleh sebab itulah siasatan ini mengambil masa,” kata beliau.
Sementara itu, Zailan berkata keadaan kesihatan ibu terbabit akan diberi perhatian oleh pihak hospital dan klinik mengikut kesesuaian keadaan.
“Sebelum ini Pakar Obstetriks dan Ginekologi HTAN telah pun memanggil keluarga tersebut dan memberi penjelasan mengenai situasi pengendalian kes tersebut,” katanya.
Semalam kahbar melaporkan dakwaan seorang ibu muda Sharifah Kalsum Syed Abu Bakar, 22, dari Kuala Pilah yang mendakwa bayi kembar beliau meninggal dunia akibat kecuaian HTAN ketika beliau mendapatkan rawatan untuk bersalin pada bulan lepas.
Ketika dimasukkan ke bilik bersalin pada 14 Januari, Sharifah Kalsom mendakwa tiada doktor pakar tetapi hanya ada doktor pelatih.
“Saya merayu kepada jururawat bertugas agar mempercepatkan proses kelahiran tetapi doktor memberitahu saya, pembukaan di pangkal rahim saya ketika itu hanya dua sentimeter. Ini menyebabkan saya dimasukkan ke wad biasa.
“Selepas itu saya diberikan ubat tahan sakit dan saya terlena,” ujar Sharifah Kalsum.
Sharifah Kalsom turut menjelaskan ketika proses bersalin, ketika bayi pertama dikeluarkan bayinya itu masih hidup tetapi bayi kedua beliau sudah meninggal dunia ketika dikeluarkan seminit kemudian.
“Bayi pertama seberat 2.33 kilogram dan bayi kedua seberat 2.07 kilogram.
“Saya ingatkan bayi pertama saya berjaya diselamatkan, tetapi sekitar pukul 12 tengahari, suami memaklumkan kepada saya, bayi itu juga telah meninggal dunia,” kata Sharifah Kalsum dengan sebak.
Suami kepada Sharifah Kalsum iaitu Muhd Azmi Hashim, 30, pula berkata beliau kecewa dengan sikap kakitangan hospital HTAN sehingga nyawa dua anaknya (kembar) tidak dapat diselamatkan.
Muhd Azmi juga menyatakan kekesalan beliau apabila pihak HTAN masih belum menjelaskan punca kematian anak kembar beliau. - FreeMalaysiaToday
Rujuk laporan Akhbar Semalam:-Ibu dakwa bayi kembar meninggal kerana hospital cuai
KUALA PILAH: Seorang ibu muda mendakwa bayi kembar beliau meninggal dunia selepas kecuaian pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah bulan lepas.
Sharifah Kalsum Syed Abu Bakar, 22, mendakwa pada 14 Januari lepas, lebih kurang pukul 2.30 petang, beliau ke HTAN kerana sakit hendak bersalin.
“Saya rasa sakit di pinggang dan berlaku kontraksi. Dalam bilik bersalin tiada doktor pakar tetapi hanya ada doktor pelatih sahaja.
“Saya merayu kepada jururawat bertugas agar mempercepatkan proses kelahiran tetapi doktor memberitahu saya, pembukaan di pangkal rahim saya ketika itu hanya dua sentimeter. Ini menyebabkan saya dimasukkan ke wad biasa.
“Selepas itu saya diberikan ubat tahan sakit dan saya terlena.
“Keesokkan harinya sekali lagi saya memanggil jururawat kerana berasa seperti hendak bersalin.
“Saya sudah tidak larat untuk menahan sakit tetapi jururawat menjawab dengan kurang sopan malah seperti memerli saya, “ kata Sharifah Kalsum.
Sharifah Kalsum turut mendakwa pada 16 Januari antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam, dia dikejutkan oleh seorang jururawat untuk melakukan pemeriksaan cardiotopograph atau CTG untuk mengesan kadar degupan jantung bayi.
`Degupan jantung’
“Ketika pemeriksaan CTG, saya mendengar degupan jantung sebelah kanan, manakala sebelah kiri pula tiada.
“Jururawat tersebut tidak memaklumkan apa-apa sehingga seorang doktor memeriksa saya pada pukul 7.30 pagi.
“Apabila doktor periksa sekali lagi selepas kira-kira 15 minit kemudian, degupan jantung bayi kiri tiada dan menyebabkan doktor meminta saya ke bilik bersalin lebih kurang pukul 8.30 pagi.
“Dalam keadaan panik, seorang doktor meminta pembedahan kecemasan dilakukan segera bagi menyelamatkan bayi saya,” katanya lagi.
Sharifah Kalsom menjelaskan lebih kurang pukul 10.05 pagi, bayi pertama dikeluarkan dan masih hidup tetapi bayi kedua yang dikeluarkan seminit kemudian sudah meninggal dunia.
“Bayi pertama seberat 2.33 kilogram dan bayi kedua 2.07 kilogram.
“Saya ingatkan bayi pertama saya berjaya diselamatkan, tetapi sekitar pukul 12 tengahari, suami memaklumkan kepada saya, bayi itu juga telah meninggal dunia,” kata Sharifah Kalsum dengan sebak.
Suami kepada Sharifah Kalsum iaitu Muhd Azmi Hashim, 30, berkata beliau kecewa dengan sikap kakitangan hospital HTAN sehingga nyawa dua anaknya (kembar) tidak dapat diselamatkan.
“Saya juga kesal kerana pihak HTAN masih belum menjelaskan punca kematian anak kembar saya.
“Saya hanya mahu tahu punca sebenar kematian bayi kembar saya. Saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Melang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment