Kisah sedih Kehidupan ‘Mak Cik Yam’ sebelum Parah Di Samun
nescafeais - 14:34
Tiada apa yang terlalu istimewa pada Pasar Besar Bandar Jertih, Terengganu, berbanding lain-lain pasar seumpamanya di bandar dan pekan lain di negara ini, khususnya di Pantai Timur.
Selain majoriti peraih dan peniaga yang menjalankan urusan harian di situ berbangsa Melayu, hakikat bahawa sebahagian besar mereka adalah kaum Hawa juga bukan fenomena yang asing bagi masayarakat di sebelah sini.
Namun seperkara yang mungkin menjadikannya berbeza daripada pasar-pasar di tempat lain ialah keunikan salah seorang peraih di situ.
Kelibat seorang wanita yang lebih banyak menggerakkan tangan daripada membuka mulutnya ketika melayan pelanggan menarik perhatian orang ramai.
Kebetulan sewaktu penulis berada berdekatan makcik itu, seorang wanita datang bertanyakan harga sayuran dijualnya.
“Pucuk ‘miding’ (paku pakis) ni berapa (seikat), makcik?”, tanya kakak itu, sambil memegang sayuran tersebut.
Makcik si penjual itu memandang ke arahnya seraya menegakkan dua jari, disusuli kemudiannya dengan isyarat jari telunjuknya. Isyarat itu tidak sukar diterjemahkan. Ia bermaksud “dua ikat untuk satu RM”.
Tanpa menampakkan reaksi terkejut, kakak tadi menganggukkan kepala.
Barangkali dia sudah maklum dengan sifat “istimewa” dimiliki makcik itu.
Melihatkan anggukan kakak itu, si penjual pun segera mencapai beg plastik di sisinya. Sebaik dua ikat pucuk pakis selesai dipilih si kakak itu, dia mencapainya dan memasukkannya ke dalam beg plastik itu.
Sekeping kertas RM1 dan beg plastik berisi sayuran itu lantas bertukar tangan antara mereka. Makcik itu mengangguk-anggukkan kepala, barangkali tanda terimakasih atas urusan jual beli itu.
Cukup mudah transaksi niaga itu dijayakan.
Namun apakah semudah itu juga usaha makcik itu mendapatkan pelbagai jenis sayuran dijualnya? Selain pucuk pakis, di depannya turut berlonggok kacang bendi, limau nipis, mentimun, terung, sawi dan tidak ketinggalan ‘lada hidup’ (cili merah).
Melihatkan longgokan sayuran itu, terbayang seribu kepayahan yang mungkin dihadapi makcik itu mendapatkan bekalannya. Peribahasa Melayu, “seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” mungkin paling tepat menerangkan keadaannya.
Dalam keadaan bisu dan hanya menggunakan bahasa isyarat, kita terfikir tentu tidak mudah baginya menyempurnakan tuntutan dan keperluan hariannya itu.
Usaha penulis mengenali makcik berkenaan lebih mendalam juga tidak kurang sukarnya.
Penulis mengisyaratkan mahu mengambil gambarnya. Beliau mengangguk. Agaknya bahasa tangan penulis itu terlalu mudah difahaminya.
Sangkaan itu tepat. Sebaik kamera dikeluarkan dari beg, makcik tadi tersenyum seraya menutup mulutnya, sedikit malu-malu.
Kamera diklik beberap kali. Alhamdulillah, makcik itu tidak keberatan memberikan pose istimewanya mengikut permintaan penulis.
Namun tugasan belum sempurna setakat itu.
Usaha mendapatkan maklumat peribadinya mendedahkan penulis kepada pengalaman baru yang amat menguji minda. Mujur juga beberapa orang yang ada di situ ikut membantu.
“Ikut cerita orang ‘Mak Su’ ni duduk di Felda Tenang (di Hulu Besut).
Tiap-tiap pagi teksi mari hantar di luar sana (luar pagar pasar). Lima ringgit mari, lima ringgit ‘kelik’ (balik),” sampuk seorang lelaki, tatkala melihat penulis terkial-kial cuba berkomunikasi dengan makcik itu.
Berdasarkan vest dipakainya, besar kemungkinan lelaki warga emas itu adalah penyelia kebersihan pasar berkenaan. Butir bicaranya juga menampakkan dia sangat arif tentang urusan harian di sekitar kawasan itu.
Istilah ‘Mak Su’ digunakannya itu juga tidak sukar dimengertikan.
Panggilan itu biasanya merujuk kepada status seseorang atau pasangannya sebagai anak bongsu dalam keluarga.
Namun dalam kes makcik ini, panggilan itu merujuk kepada sifat istimewa dimilikinya. Menjadi kebiasaan masyarakat sebelah sini menggelarkan insan bisu sebagai ‘Mak Su’ atau ‘Pak Su’.
Mujur juga penulis terlintas membuka dompet dan menunjukkan kad pengenalan kepada makcik itu. Beliau mengangguk, mengeluarkan beg duit dari sakunya dan menghalakan jari telunjuk ke arah beg itu.
Barangkali dia mahu penulis faham, kad pengenalannya tersimpan di dalamnya.
Tertera namanya Mek Yam bte Awang Ya, beralamat di Kampung Darau, kira-kira 9 kilometer dari pasar itu.
Itu mungkin tempat tinggal asalnya. Lagi pun beberapa peniaga bersebelahannya sepakat mengatakan beliau memang tinggal di Felda Tenang, sepertimana disebut pakcik tadi.
Berdasarkan nombor kad pengenalannya, makcik ini dilahirkan pada tahun 1945 di Kelantan (kod negeri 03). Bagaimana pun terdapat tanda bintang pada hujung nombor tersebut, kemungkinan menandakan angka-angka tertera itu hanyalah anggaran dan andaian pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Usaha penulis mendapatkan maklumat peribadinya lebih lanjut juga terpaksa menggunakan kaedah andaian. Apatah lagi cubaan penulis memintanya menulis maklumat mengenai suami dan anak-anaknya menghasilkan tulisan yang entah apa-apa.
‘Mak Su’ mengangguk apabila penulis mengisyaratkan dua jari telunjuk disatukan, menandakan beliau ada suami. Beliau malah menunjukkan isyarat dua jari, yang boleh difahami sebagai pernah dua kali berkahwin.
Penafsiran penulis ke atas bahasa isyarat ‘Mak Su’ berikutnya memungkinkan suami pertamanya meninggal kerana penyakit lelah.
Beliau juga seakan memberitahu ada sepuluh orang anak. Lima orang daripada mereka tinggal bersama nenek mereka. Dua orang bekerja makan gaji. Manakala tiga daripada mereka kemungkinan tinggal berjauhan dengannya.
Penafsiran itu mungkin betul, mungkin sekadar andaian penulis. Pengalaman singkat menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan insan istimewa itu bagaimana pun membuatkan penulis terfikir betapa gigihnya ‘Mak Su’ berdepan situasi itu sepanjang hidupnya.
Ataukah beliau sudah kalih dengan keadaan itu, seperti kata satu lagi pepatah Melayu, “alah bisa lantaran biasa”?
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Januari 2011 dengan tajuk sama di ruangan “Kisahnya”)
0 comments:
Post a Comment