SABAK BERNAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 
mengalu-alukan idea berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
 Razak sebagaimana disarankan oleh Merdeka Center berdasarkan 
penemuannya baru-baru ini.
 Sehubungan itu kata Anwar, debat yang disyorkan wajar bagi menjawab 
persoalan-persoalan  yang ditimbulkan terhadap Barisan Nasional (BN) dan
 Pakatan Rakyat (PR).
 “Masing-masing buat tuduhan, kita tuduh Barisan Nasional rasuah dan 
gagal tadbir negara, BN tuduh kita tidak tahu urus ekonomi, tuduh Anwar 
jadi alat DAP, masing-masing ada pendekatan dan kita cadang debat.
 
“Apa yang kita sebut, kita pertahankan, itu sebabnya kita perlu debat. Insya-Allah kita menang dan dapat tawan Putrajaya,” kata beliau pada Program Mesra Rakyat Bersama Penasihat Ekonomi Selangor di Stadium Sabak Bernam di sini, semalam.
“Apa yang kita sebut, kita pertahankan, itu sebabnya kita perlu debat. Insya-Allah kita menang dan dapat tawan Putrajaya,” kata beliau pada Program Mesra Rakyat Bersama Penasihat Ekonomi Selangor di Stadium Sabak Bernam di sini, semalam.
 Hadir sama dalam siri ceramah itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; 
pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari; Ahli Dewan Undangan Negeri 
Sekinchan, Ng Suee Lim dan Yang Dipertua Pas Sabak Bernam yang juga 
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.
 Ketika dihubungi Sinar Harian Online awal minggu ini, Pengarah
 Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata Perdana Menteri dan 
Ketua Pembangkang wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar 
dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.
 Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan 
berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka 
berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin 
berkenaan.
 "Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan 
profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib 
mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu 
negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan 
rakyat.
 "Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan 
keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan 
debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan
 satu sama lain," kata Ibrahim.
 Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat 
terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap 
tidak sesuai untuk dilaksanakan.
 Dalam reaksinya semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 
berkata, debat antara Najib dan Anwar tidak perlu diadakan kerana tidak 
mengubah pendirian masing-masing.
 Sementara itu, PKR mengalu-alukan idea agar diadakan satu debat terbuka
 antara Najib dan Anwar kerana pendekatan sedemikian perlu bagi 
menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh 
kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan
 pemimpin-pemimpin negara.
 Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar juga mengulangi janji yang dibuat sekiranya dapat menawan Putrajaya.
 "Hari ini kita tawan Putrajaya, esok harga minyak turun. Dua minggu 
selepas kita tawan Putrajaya, kita akan minta cara untuk turunkan kadar 
elektrik,” katanya.
 “Rakyat mampu membuat pilihan, BN pernah perintah Selangor, PR masuk 
empat tahun perintah Selangor dan rakyat perlu diberikan peluang untuk 
membuat pilihan," kata Anwar lagi.
 Anwar yang juga Ketua Umum PKR memberitahu, derita rakyat perlu diatasi begitu juga dengan rasuah dan penindasan.
 "Sebab itulah kita kata rakyat ada pilihan. Rakyat mesti bangkit tentukan masa depan mereka,” katanya.
 

 
 
 
 
 
 

0 comments:
Post a Comment