Show Mobile Navigation

Monday, 2 December 2013

,

Buaya Ganas Bujang Lubok Yang Berjaya Ditangkap

nescafeais - 11:44

Klik sini untuk berita sebelumnya:-Gambar Buaya Ganas Bujang Seblak Muntahkan Mayat Manusia Tanpa Kepala, Tangan 

Umpan anjing yang dipasang oleh pawang buaya terkenal, Indet Senabong dari Empelawa Betong di Sungai Seblak berjaya menewaskan seekor buaya jantan sepanjang 13 kaki.

Buaya jantan yang diberi gelaran oleh Indet sebagai Bujang Lubok mempunyai belakang selebar lebih dua kaki, berjaya ditangkap di Nanga Tinggam, Sungai Seblak, sekitar jam 9 pagi semalam.

Indet, 50, berkata beliau bersama dua penduduk rumah panjang iaitu Mani Mangai dan Tuai Rumah Embol mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menundukkan buaya terbabit.

“Buaya tembaga ini cukup ganas sewaktu kami mula menjumpainya.

“Pokok pedada sebesar paha tempat kami mengikat kail buaya kelihatan bergoyang seolah-olah mahu tumbang ketika ditarik buaya berkenaan yang mahu melepaskan diri.

“Usaha menarik keluar buaya terbabit dari dalam sungai menjadi lebih sukar apabila rotan yang dijadikan sebagai tali kail terbelit di dalam air iaitu pada sebatang pokok tumbang.

“Keadaan itu memaksa saya dan Mani turun ke dalam sungai untuk meleraikan rotan yang tersangkut di dalam air itu.

“Namun, cabaran menundukkan Bujang Lubok bukannya semudah yang disangkakan.

“Apatah lagi buaya itu berusaha melepaskan diri dan tidak memberi peluang kepada saya menghampirinya,” kata Indet ketika ditemui di pangkalan Rumah Mawan Ason, Empayak, Roban semalam.

Dalam usaha menangkap buaya yang membaham seorang nelayan sungai dari rumah panjang terbabit, Adrian Thomas, 32, di Muara Budak pada petang Jumaat lalu, Indet memasang tujuh kail yang bertalikan rotan dan berumpan anjing di tujuh lokasi sang bedal yang kerap dilihat oleh penduduk setempat.

Menurut Indet, beliau yakin bahawa buaya yang ditumpaskan itu adalah buaya yang bertanggungjawab menangkap dan membunuh Adrian.

“Buaya inilah yang kerap muncul di lokasi kejadian sejak beberapa hari lalu dan berdasarkan struktur badan yang kami lihat, buaya ini telah memuntahkan sebahagian daripada mayat mangsa tempoh hari.

“Kail yang kami pasang dan mengena pula berada lebih 500 meter di hilir dari lokasi mangsa dibaham,” ujarnya.

Menurut Indet pada malam Jumaat (29 November) lalu sebelum Bujang Lubok itu ditangkap, beliau bermimpi bertemu dengan seorang manusia tidak dikenali dan menggelarkan dirinya sebagai Bujang Lubok.

“Dalam mimpi tersebut, Bujang Lubok ada memberitahu saya bahawa bukan niat dia tidak ingin ‘ngabang’ (makan umpan yang telah dipasang) beberapa hari lalu.

“Ini kerana, mangsa tiada di rumah pada masa ini,” kata Indet.
Setelah bangun dari tidurnya, Indet terus berusaha mentafsir maksud sebenar mimpinya itu.

“Setelah berfikir baharulah saya sedar akan maksud sebenar mimpi saya, bahawa perkara dimaksudkan oleh Bujang Lubok itu adalah dia hanya makan umpan saya setelah mayat mangsa tiba dari Hospital Saratok dan dibawa balik ke rumah panjang untuk proses pengebumian.

“Awal pagi semalam, saya merasakan begitu yakin, iaitu sebaik sahaja mayat mangsa dibawa turun dari rumah untuk dikebumikan, Bujang Lubok menyerah diri.

“Setibanya di lokasi tersebut, saya lihat kail sudah mengena dan saya yakin buaya yang sudah membaham kail itu adalah Bujang Lubok,” ceritanya.

Sementara itu, bagi Mani Mangai, beliau begitu kagum dengan keberanian dan kebolehan Indet menundukkan buaya pemangsa terbabit.

“Apatah lagi kami hanya bertiga sahaja pada masa itu, dengan keadaan tempat yang begitu sukar untuk bergerak iaitu di dalam perahu.

“Namun, pada masa yang sama Indet memberi keyakinan kepada saya dan Tuai Rumah Embol bahawa mereka mampu menewaskan buaya berkenaan.

“Pada mulanya ia memang sukar dan menghadapi pelbagai masalah, tetapi setelah buaya itu dapat kami tarik menghampiri perahu kami, secara tiba-tiba Indet terus menepuk kepala buaya berkenaan.

“Sebaik sahaja terkena tepuk oleh Indet, buaya berkenaan terus berhenti menggelepar dan kelihatan terus lemah,” kata Mani.

Penangkapan Bujang Lubok itu terus mendapat berita meluas di kalangan penduduk setempat, menyebabkan sekitar 500 orang datang ke pangkalan perahu Empayak untuk menyaksikan sendiri buaya berkenaan dan menjadikan situasi di tempat tersebut seperti berlangsungnya pesta.

Begitupun, masih ramai yang tertanya-tanya akan status sebenar Bujang Seblak yang hangat diperkatakan oleh penduduk sebagai buaya terbesar di sungai terbabit sama ada buaya berkenaan masih bermaharajalela atau sudah hilang.

Tetapi, rombongan yang balik dari tanah perkuburan di Supok selepas selesai mengebumikan mangsa serangan buaya, Adrian terlihat kelibat buaya yang ternyata lebih besar daripada Bujang Lubok dan dipercayai Bujang Seblak menampakkan dirinya lebih kurang satu kilometer di hilir Muara Budak.

Namun, tiada siapapun faham maksud buaya berkenaan menayangkan dirinya tanpa takut kehadiran manusia menghampirinya dan hanya dapat ditafsirkan lebih kurang 10 penduduk yang terlihat akan kejadian itu, adalah buaya besar itu masih wujud.



SILA TINGGALKAN KOMEN DISINI DAN SHARE



SILA LIKE FANPAGE KAMI DAN SHARE ARTIKEL INI






0 comments:

Post a Comment